Pages

see more picture by Clicking here


Thursday, December 31, 2009

solat jumaat


Sebagai umat islam dan juga lelaki, kita sememangnya telah diajar untuk menunaikan Solat Jumaat.  Sejak dari kecil bila tiba hari Jumaat Ayah akan membawa kita ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat.  Walaupun kita tidak tahu maksud dan tujuaannya, tapi melentur buluh biar dari rebungnya, walaupun masih kecil, perlu diberi pendedahan.

SEMBAHYANG penting dalam kesatuan umat Islam. Pentingnya solat itu, maka Nabi Muhammad saw memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. 

Baginda bersabda bermaksud: "Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran."

Sembahyang Jumaat ini terlalu penting untuk memastikan umat Islam berada di atas landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan. 

Baginda juga meletakkan garis panduan yang wajib diikuti oleh mereka yang menghadirinya. Hal ini bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya. 

Antara garis panduan itu adalah:
Mengemas diri dengan sebaik-baiknya, mandi membersihkan dirinya agar jemaah lain, terutama yang berhampiran dengannya tidak terganggu oleh bau badan atau pakaiannya yang busuk. 

Nabi bersabda bermaksud: "Apabila seseorang kamu menghadiri sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi." (Hadis riwayat Muslim)

Segera ke masjid dengan penuh ketenangan. 

Perkara ini perlu bagi mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.

Baginda bersabda bermaksud: "Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban seekor unta." (Hadis riwayat Bukhari) 

Menumpukan perhatian sepenuhnya kepada khutbah yang dibaca.
Mendengar khutbah adalah suatu kemestian dan syarat sah bagi sesuatu Jumaat yang didirikan. Ia adalah kemuncak kepada ibadat sembahyang Jumaat.

Sekiranya jemaah yang membanjiri masjid tidak mendengar khutbah dengan baik, sibuk bercakap-cakap sesama sendiri atau gurau senda, dia bukan saja tidak dapat menerima faedah daripada khutbah disampaikan oleh khatib, malah solat Jumaatnya penuh dengan kecacatan dan tidak sempurna. Paling sedih, dia langsung tidak mendapat pahala. 

Perkara itu seperti sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Barang siapa yang bercakap-cakap ketika Imam sedang membaca khutbah (Jumaat), maka dia bagaikan seekor keldai yang membawa kitab-kitab dan sesiapa yang berkata diam (kepada rakannya yang bercakap) tiadalah Jumaat baginya, Jumaatnya tidak sempurna."

Demi memastikan setiap kalimah yang dibaca oleh khatib didengar serta difahami dengan baik, Rasulullah melarang jemaah yang berada dalam masjid daripada melakukan ibadat sunat seperti bertasbih atau membaca al-Quran.

Sembahyang sunat Tahyatul Masjid dibenarkan, tetapi hendaklah didirikan seringkas mungkin agar jemaah tidak terlepas daripada mendengar khutbah.

Berbual dan sikap tidak menumpukan perhatian ketika khatib membaca khutbah adalah perbuatan yang sangat buruk. Ia menyerupai sikap yang pernah ditunjukkan oleh orang kafir Quraisy pada zaman dulu. 

Firman Allah bermaksud: "Dan orang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar akan al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya). Maka demi sesungguhnya, kami akan merasakan kepada orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan." (Surah al-Fussilat, ayat 26 dan 27)

Amalan tidak memberi tumpuan terhadap khutbah yang dibaca oleh khatib adalah kesalahan yang menyerupai pengabaian terhadap bacaan al-Quran. Perkara ini kerana salah satu dari rukun khutbah adalah membaca al-Quran. 

Justeru, Allah menggesa agar apabila al-Quran atau khutbah dibaca, maka hendaklah kita diam dan menumpukan perhatian terhadap bacaan itu.

Firman Allah bemaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raaf, ayat 204)

Sumber: BH Online - Sabtu, 29 Januari 2005/18 Zulhijjah 1425


Share

0 PEMINAT DRAMATIK:

Post a Comment

About Me

My photo
kami adalah kami, tak kira apa jua yang terjadi, keadaannya adalah tetap same. so kepada kawan-kawan semua, semoga tehibur dgn kandungan blog kami yehhh.

Followers

jangan lupa lirik